PUTRAJAYA – Usaha mengantarabangsakan Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menunjukkan kemajuan apabila peperiksaan yang diperkenal di negara ini sejak 2000 itu dapat dilaksanakan di Kemboja.
Pengarah Lembaga Peperiksaan Datin Nawal Salleh berkata seramai 78 calon STAM dari Kemboja menduduki peperiksaan itu di negara mereka sendiri pada tahun lepas, hasil kerjasama antara Pejabat Mufti Kemboja dan Lembaga Peperiksaan Malaysia.
“Selain mengukuhkan usaha mengantarabangsakan STAM seperti termaktub dalam Pelan Pembangunan Pelajaran Malaysia 2013-2025, langkah itu membantu mengurangkan beban kewangan kepada calon yang berminat mengambil sijil tersebut yang terpaksa menduduki peperiksaan di Malaysia,” katanya.
Bercakap pada sidang media mengenai sejarah STAM di pejabatnya di sini hari, ini, Nawal berkata pelaksanaan STAM di Kemboja itu dilihat membuka jalan kepada pihaknya memperkenalkan inisiatif sama di negara seperti Thailand, Filipina dan Singapura.
Menurutnya, jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu meningkat setiap tahun daripada kurang 2,000 pelajar pada tahun 2000 kepada kira-kira 8,000 orang pada tahun lepas termasuk calon dari luar negara.
Mengenai sejarah STAM, Nawal berkata STAM mula diperkenalkan selepas Kementerian Pendidikan menjalin kerjasama dengan Al-Azhar Al-Syarif, badan yang bertanggungjawab menguruskan Universiti Al-Azhar, Mesir pada November 1999.
Pada awal pengenalannya, STAM yang kurikulumnya diambil daripada Maahad Bu’uth Al-Islamiyyah Al-Azhar, mengandungi tiga bidang pengajian iaitu Bahasa Arab, Suariah dan Usuluddin yang melibatkan 10 mata pelajaran dengan kesemuanya menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.
Perjanjian itu juga, katanya, menyaksikan Universiti Al-Azhar memperuntukkan sehingga 700 tempat kepada lulusan STAM dari Malaysia bagi setiap sesi pengajian.
Lulusan STAM pada awalnya hanya boleh menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar namun pemegang sijil itu kini setelah melalui beberapa edisi boleh melanjutkan pelajaran di 12 Universiti Awam (UA) tempatan, dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan tempat terbanyak, katanya.
Mengenai pencapaian, Nawal berkata kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan calon yang menduduki STAM buat pertama kali setiap tahun berjaya memperoleh sijil, iaitu sekurang-kurangnya mendapat pangkat Maqbul (Lulus), gred terendah daripada empat gred keputusan meliputi Mumtaz (Cemerlang), Jayyid Jiddan (Sangat Baik) dan Jayyid (Baik).
“Peluang pekerjaan bagi lepasan STAM juga bertambah baik apabila mereka yang memperoleh empat gred Maqbul daripada 10 mata pelajaran juga berpeluang memegang jawatan sebagai penjawat awam apabila Jabatan Perkhidmatan Awam mengiktiraf STAM setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada Oktober 2009,” katanya.
Nawal berkata keputusan STAM 2016 akan diumumkan pada Khamis ini melibatkan 8,784 calon.
Daripada 8,784 calon itu, 2,110 adalah daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, manakala 4,617 merupakan calon sekolah menengah agama negeri serta 680 daripada sekolah menengah agama rakyat.
Seramai 1,269 calon adalah calon persendirian dan beserta calon sekolah menengah agama swasta seramai 30 orang serta 78 calon luar negara, iaitu Kemboja, katanya.
Calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing bermula 10 pagi, manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan.
Calon juga boleh membuat semakan melalui MySMS 15888 yang akan diaktifkan bermula 10 pagi pada 19 Jan sebelum perkhidmatan itu ditamatkan pada 11.59 malam, 25 Jan, katanya. – BERNAMA
