KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti langkah lebih ketat menangani taktik baharu pemalsuan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata langkah itu termasuk menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah kegiatan pemalsuan.
Kenyataan itu dikeluarkan hari ini bagi merujuk kepada dakwaan pembabitan kakitangan Pos Malaysia dalam sindiket pemalsuan dikenali sebagai ‘Geng Tuah’ yang dilumpuhkan oleh polis baru–baru ini.
“Bagaimanapun, kami ingin menegaskan bahawa kami tidak membiarkan kegiatan itu. Memandangkan kes itu masih dalam siasatan, kami tidak boleh mengulas lanjut. Pos Malaysia akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Pada masa ini, Pos Malaysia secara proaktif berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan memberikan sepenuh kerjasama kami bagi membantu mereka dalam siasatan kes ini,” katanya sambil mengesahkan seorang daripada kakitangannya ditangkap berhubung kes itu.
Isnin lepas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Komersial) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata polis menumpaskan satu sindiket yang aktif memalsukan dokumen kerajaan sejak beberapa tahun lepas dengan tertangkapnya lima individu termasuk seorang guru dan suaminya.
Mohd Shukrie berkata Pos Malaysia mengalu-alukan sebarang maklum balas darpada orang ramai bagi meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan penghantaran yang boleh disalurkan kepada cawangan Pos Malaysia berdekatan, PosLine di 1-300-300-300, e-mel kepada care@pos.com.my dan laman web di www.pos.com.my – BERNAMA