ROMPIN – Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan masyarakat supaya menjauhi aktiviti air dan laut sepanjang musim tengkujuh bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Baginda bertitah ibu bapa juga perlu peka dengan aktiviti anak dan memastikan mereka tidak bermain di longkang besar, sungai atau laut yang dikhuatiri boleh mendatangkan risiko lemas.
“Sama-sama kita menjaga keselamatan. Saya harap semua pihak bersiap sedia menghadapi banjir kerana waktu tengkujuh begini adalah masa untuk kita semua berwaspada,” titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah demikian semasa ditemui selepas meninjau operasi ladang kelapa terbesar di Malaysia, Ladang Kelapa Ambang di Kampung Kerpal berkeluasan 404 hektar di sini, hari ini.
Turut serta dalam lawatan itu ialah pengarah bersama syarikat itu Datuk Dr Abd Wahib Abd Manap.
Ladang yang diusahakan Syarikat Ambang Perintis Sdn Bhd mengeluarkan tiga jenis kelapa iaitu kelapa pandan, kelapa mawar dan kelapa matag.
Baginda turut menitahkan penduduk Pahang untuk sama-sama berdoa dan mengadakan solat hajat memohon supaya kejadian banjir besar tidak berlaku pada tahun ini.
“Bagaimanapun, kita telah membuat persediaan jika banjir berlaku. Saya juga sentiasa berhubung dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa bagi memantau keadaan,” titah baginda. – BERNAMA

