ZURICH – Pemenang anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri mengambil keputusan tidak memakai baju Melayu pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 di sini kerana faktor cuaca terlalu sejuk.
Pemain Pulau Pinang yang berusia 29 tahun itu sebaliknya memakai pakaian formal baju sut warna gelap berikutan cuaca amat dingin sekitar -5 darjah Celsius di bandar raya Switzerland tersebut sepanjang hari berkenaan.
“Keadaan di sini memang sejuk, memang saya kena pakai baju kot. Bukan pakai baju Melayu tak kena (sesuai) di sini tapi sebab terlalu sejuk,” katanya seperti dilaporkan akhbar Harian Metro ketika ditemui di sini hari ini.
Ia sebagai menjawab persoalan pelbagai pihak di Malaysia yang dikatakan berasa terkejut dengan penampilan Mohd. Faiz apabila bersut lengkap ketika menerima anugerah dan bukan berbusana Melayu seperti dirancangkan.
Sebelum ini, Mohd. Faiz berhasrat memakai set persalinan lengkap baju Melayu tradisional yang ditaja khas oleh Institut Seni Malaysia Melaka dan bernilai kira-kira RM3,000 pada majlis anugerah bola sepak berprestij itu.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut memberi kebenaran kepada pemain berkenaan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat permohonan secara rasmi berhubung kelonggaran isu pakaian tersebut.
Baca: Faiz Dibenar FIFA Berbaju Melayu, Bercakap Melayu

“Tak apa kalau saya tidak dapat pakai baju Melayu di sini, Insya-Allah kalau menang saya mesti akan pakai di Malaysia pula nanti,” jelas Mohd. Faiz yang diiringi oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah.
Turut menemani pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah tersebut ialah isteri beliau sendiri, Norzawanis Hashim, 29, serta dua orang anak mereka iaitu Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.
Jaringan ajaib Mohd. Faiz yang dilakukan sewaktu membantu pasukannya menang 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya disenaraikan antara tiga terbaik dunia untuk Anugerah Puskas 2016.
Anugerah tersebut dinamakan sempena dengan penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang pernah menjulang tiga gelaran Eropah ketika bersama-sama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966 lalu.
Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009, anugerah bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun telah dimenangi ramai bintang dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.
Rakaman video jaringan Mohd. Faiz tersebut yang dimuat naik pihak FIFATV menerusi laman YouTube pada 21 November lepas malahan telah ditonton lebih dua juta pelayar dari seluruh dunia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA