KUALA LUMPUR – Jurulatih negara, Chiew Chun Yong memuji persembahan anak buahnya dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejohanan Futsal AFF di Bangkok, Thailand yang menyaksikan Malaysia bangkit menewaskan Indonesia 6-5 hari ini.
Chiew mengakui perlawanan menentang Indonesia cukup sengit dan semangat juang dan disiplin tinggi pemainnya terutama dalam babak kedua menjadi kunci utama kemenangan mereka.
“Hari ini kita berdepan perlawanan yang cukup sengit dan Indonesia menghasilkan semua gol mereka menerusi serangan balas pantas kerana mereka memiliki keupayaan dan kepantasan yang lebih baik daripada pemain negara.
“Bagaimanapun, pemain saya juga beraksi cemerlang terutama pada babak kedua untuk memenangi perlawanan ini selepas bermain mengikut taktikal dan strategi pasukan dengan baik.” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara 2010, Indonesia, Myanmar dan Laos manakala Kumpulan A terdiri daripada tuan rumah yang juga juara bertahan, Thailand, Brunei dan Timor Leste.
Skuad negara dijadual bertemu Laos untuk aksi kedua kumpulan esok, sebelum bertemu Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan Rabu ini. – BERNAMA