DALAM banyak-banyak artis, keluarga pengacara dan pelakon Rozita Che Ta atau Che Ta merupakan antara yang sering mendapat perhatian ramai.
Apa sahaja yang dilakukan pasti mendapat liputan media dan menjadi perbualan masyarakat Malaysia.
Semuanya dek kerana ramai peminat terpegun melihat kehidupan dan gaya hidup mewah yang dimiliki keluarga ini.
Berlandaskan populariti luar biasa yang dimiliki itu, Astro bakal membawakan anda kehidupan penuh glamour Che Ta buat tontonan umum dalam program realiti digital The House musim ketiga.
Bukan sahaja Che Ta, ragam dan kisah ahli keluarga yang yang lain seperti Zain Saidin sebagai seorang suami yang romantik, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra sebagai anak bujang serta si comel, Aaisyah Dhia Rana turut dipersembahkan.
Menurut Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak Raja Jastina Raja Arshad, rancangan ini akan memperlihatkan kehidupan Che Ta yang mungkin tidak pernah dikongsi dengan masyarakat umum sebelum ini.
“Menerusi The House, kami ingin tampilkan sisi lain beliau yang mungkin tidak pernah diketahui umum.
“Semangat yang beliau miliki dapat dijadikan inspirasi di samping memberi motivasi kepada orang ramai untuk berjaya.
“Melihat kepada populariti dan reputasi yang beliau miliki, kami yakin program ini bakal memikat hati para penonton yang pastinya berasa teruja untuk mengenali beliau dengan lebih dekat,” kata Jastina.
The House disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap hari Rabu bermula 18 Januari 2017 dan diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam bermula 25 Januari 2017. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Astro Gempak