TAMPIN – Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi Op Bersepadu/Op Sarang di Felda Pasir Besar dan Felda Sungai Kelamah, Gemas, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Abd Razak berkata operasi selama 14 jam bermula 4 pagi itu melibatkan 25 anggota dan pegawai, bertujuan membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
“Susulan soal siasat terhadap kesemua suspek yang berusia antara 37 dan 55 tahun itu membolehkan tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya kes disiasat menurut Seksyen 12 (2) ADB yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.
Hamazah berkata pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian dari semasa ke semasa. – BERNAMA

