SHAH ALAM – Seorang anggota polis berpangkat sarjan dan seorang jurubahasa warga Myanmar hari ini didakwa atas tuduhan memalsukan surat pengesahan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk tujuan menipu.
Mohamad Sahaffiq Ramli, 29, dan Lal Hum Lian, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama memalsukan dokumen bertarikh 2 Dis 2016 berkenaan dengan niat menggunakan dokumen palsu itu bagi tujuan menipu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pendakwaan, Kamar Penasihat Undang-Undang, Tingkat 4, Podium Utara di sini, antara 3 dan 4 petang pada 6 Dis lepas.
Mohamad Sahaffiq dan Lal didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Siti Shakirah menetapkan 18 Jan depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Beliau turut membenarkan anggota polis itu dibebaskan dengan jaminan RM8,000 serta seorang penjamin dan jurubahasa berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin jumlah yang sama serta dua penjamin rakyat tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan Lal melapor diri di balai polis terdekat setiap dua bulan sekali sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li. – BERNAMA

