PINTU rezeki penyanyi Zarul Umbrella semakin terbuka luas selepas penglibatannya dalam Gegar Vaganza 3 (GV3) meskipun hanya mendapat ketiga di dalam program realiti tersebut.
Menerusi sebuah portal gosip tempatan, Zarul atau nama penuhnya, Zairulkefli Husin dikhabarkan bakal berlakon dalam sebuah drama bersiri 16 episod yang mana penggambarannya akan dimulakan pada tahun hadapan.
Walau bagaimanapun, tajuk drama yang bakal dibintanginya itu tidak dapat didedahkan atas sebab-sebab tertentu.
“Apabila mendapat tawaran untuk berlakon ia adalah rezeki yang tidak dijangka setelah saya membuat keputusan berhenti kerja menjadi anak kapal untuk Malaysia Airlines.
“Cuma buat masa sekarang tajuk drama saya tidak boleh kongsikan atas sebab-sebab tertentu.
“Jadi kepada peminat saya diharap dapat bersabar, apabila tiba masanya nanti saya akan kongsikan tajuk drama yang saya berlakon bersama dengan barisan pelakon yang lain,” katanya kepada Astro Gempak.
Meskipun telah meletak jawatan sebagai anak krew Malaysia Airlines namun jejaka dengan jolokan ‘Hot Daddy’ ini turut menerima beberapa tawaran daripada syarikat penerbangan yang ingin menggunakan khidmatnya walaupun secara sambilan.
Namun keputusan untuk menerima tawaran sebagai pramugara sambilan itu masih dalam pertimbangan.
“Pramugara sambilan tersebut, tugasannya adalah menghantar jemaah umrah atau haji ke Makkah.
“Apabila perkhidmatan anak kapal diperlukan, barulah pihak penerbangan panggil.
“Apa-apa pun saya masih belum buat apa-apa lagi keputusan, buat masa sekarang lebih fokus dengan kerjaya nyanyian,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Astro Gempak