KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba merompak barangan milik seorang lelaki warga Bangladesh, minggu lepas.
Bagaimanapun, Hakim Rohatul Akmar Abdullah menetapkan 5 Jan depan bagi menjatuh hukuman terhadap Muhammad Nor Azizi Zainal Abidin, 19, sementara menunggu laporan sosial tertuduh kerana dia pesalah muda.
Muhammad Nur Azizi, seorang penganggur didakwa cuba merompak barangan seorang pekerja kilang warga Bangladesh, Sharif, 28, di Jalan Bunga Raya Prima Setapak, di sini, pada 12 tengah hari, 30 Nov lepas.
Anak tunggal itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan bagaimanapun, Muhammad Nor Azizi yang tidak diwakili peguam merayu agar dibenarkan diikat jamin dengan alasan dia berasal dari keluarga susah serta ibunya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Rohatul Akmar membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu sekali.
Berdasarkan fakta kes, mangsa ditahan oleh tertuduh secara tiba-tiba sebelum dipaksa menyerahkan barangan berharga miliknya, tetapi tertuduh menarik baju mangsa sambil mengacukan pisau selepas mangsa enggan berbuat demikian. – BERNAMA

