MUNGKIN anda masih ingat luahan seorang pengguna laman sosial Facebook, Wong Kee Hock yang berang apabila mendapati barangannya dilabel sebagai ‘fragile’ dalam bagasi didapati pecah.
Bagi menunjukkan sendiri cara kakitangan mengendalikan bagasi penumpang termasuk yang dilabel sebagai barangan mudah pecah, Kee Hock merakam dan memuat naik sebuah video dua kakitangan lapangan terbang.
Pekerja terbabit dikatakan selamba bertindak mencampak pelbagai beg dan kotak barangan penumpang ke dalam lori pengutip bagasi sebelum dibawa ke pesawat.
Klip video berdurasi 1.39 minit itu telah ditonton oleh lebih 400,000 pengguna Facebook setakat ini namun ia juga mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Salah satu komen daripada netizen yang tampil mempertahankan pekerja-pekerja ini mendapat perhatian kami.


Kata pengguna Facebook yang namanya tidak didedahkan ini, hanya kerana pelanggan bayar tiket penerbangan dan perkhidmatan lain, tidak semestinya mereka berhak dapat layanan lebih baik daripada staf syarikat penerbangan.
“Masyarakat tidak akan tahu betapa susahnya kerja ini. Benar, kamu telah membayar harga tiket penerbangan dan lain-lain, Tetapi, sila tanam perkara ini di dalam otak.
“Mereka bukan hanya menyeliakan satu penerbangan sahaja dalam sepanjang hari. Bagasi kamu beratnya pula bukanlah hanya 1kg.
“Oleh sebab itulah mereka tak galak kamu letak barangan mudah pecah di dalam bagasi. Saya rasa, ada baiknya jika kamu aja yang disumbatkan di dalam beg itu. Sekurang-kurangnya, apabila beg itu dicampak, kamu ada di dalam. Hah.”
Netizen itu bahkan terus-menerus menekankan realiti yang harus disedari orang ramai tentang cabaran bidang kerja penyelia bagasi tersebut.
“Kamu cuba kerja 12 jam sehari di bawah terik matahari, mengendalikan banyak penerbangan, mengusung bagasi kamu (yang sama berat seperti dosa kamu tu),
“Kemudian menemui penumpang seperti KAMU, yang mengkritik sambil merakam mereka semasa sedang menjalankan kerja mereka.
“Sudah tentu kamu akan katakan, ‘Saya telah bayar untuk penrkhidmatan ini, mengapa kamu campak sahaja bagasi saya? Kita semua pun penat bekerja, nak buat macam mana, buat je lah.’
“Habis tu, apa kata kamu aja yang ambil alih tugas mereka? Kamu patut rasa bertuah ada pekerja murahan/tidak bertanggungjawab yang bantu angkut bagasi kamu ke dalam perut pesawat.
“Apa yang akan berlaku jika kamu yang perlu membawa masuk bagasi kamu sendiri? MENGADU. Apa-apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan kamu pasti akan mengadu.”
Meluap-luap nampaknya kemarahan netizen ini sehingga turut mengeluarkan kata-kata kesat.
Namun, perenggan terakhir telah meberi justifikasi terhadap tindakannya menulis status ini.
Sebenarnya, beliau amat terkesan kerana ayahnya juga merupakan seorang penyelia bagasi di sebuah syarikat penerbangan!
“Satu-satunya sebab mengapa saya sangat marah dengan kejadian ini adalah kerana ayah saya merupakan pekerja yang bertanggungjawab menyimpan bagasi penumpang ke dalam pesawat.
“Beliau telah bekerja selama 30-40 tahun. Kamu tidak tahu betapa susahnya kerja ini. Kamu tak akan tahu dan kamu tak akan faham.
“Apa yang kamu tahu cuma mengadu domba tetapi apakah kamu lupa kita semua juga manusia?
“Ada yang bekerja keras sama seperti penyelia-penyelia bagasi itu dan juga orang kurang ajar seperti pengadu itu.” – MYNEWSHUB.CC

