MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka sedang merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengoperasian beca tradisional demi keselesaan dan keselamatan penarik beca dan pelancong yang menggunakan perkhidmatan itu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri Datuk Ghazale Muhamad berkata SOP berkenaan meliputi pelbagai aspek termasuk hiasan, kualiti perkhidmatan, laluan kayuhan dan pakaian penarik beca.
“SOP ini masih dalam perbincangan bersama Tourism Melaka, pihak polis dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), dijangka dapat dibangunkan selewat-lewatnya pada awal tahun depan.
“Antara sebab SOP ini perlu dilaksanakan, kerana kita banyak menerima aduan daripada orang awam tentang tindakan penarik beca yang mengayuh kenderaan melawan arus. Ia bukan sahaja membahayakan mereka tetapi juga penumpang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Light Sensation di Dataran Pahlawan di sini, malam tadi.
Beliau berkata SOP tersebut akan turut menetapkan terminal khas yang menjadi kawasan atau transit bagi semua beca berlesen agar lebih teratur dan tidak mengganggu kawasan meletak kereta terutama di Menara Taming Sari di Bandar Hilir.
Katanya menerusi SOP berkenaan, semua beca perlu memainkan irama Malaysia atau dondang sayang sebagai ikon tradisional di negeri itu, dalam usaha untuk menjadikan kenderaan tersebut sebagai warisan negeri.
Mengulas lanjut, Ghazale berkata pihaknya juga akan memantau perkhidmatan beca di negeri itu bagi memastikan semua penarik beca mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh MBMB.
Beliau berkata semua penarik beca juga akan diberikan kursus dan input berkaitan produk pelancongan negeri, agar mereka dapat menjalankan tugas sebagai duta kecil Melaka dengan baik.
“Sehingga kini sebanyak 300 penarik beca didaftarkan dan mempunyai lesen yang dikeluarkan MBMB,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata harga bagi perkhidmatan beca di negeri itu telah ditetapkan iaitu RM40 sejam dan RM20 bagi setiap sejam berikutnya dan penumpang boleh membuat aduan kepada pihak MBMB atau Tourism Melaka sekiranya terdapat penarik beca yang tidak mengikut ketetapan itu. – BERNAMA