HULU TERENGGANU – Cucur manis dipercayai menjadi makanan terakhir yang dijamah Amir Hilmi Azmi, 23, sebelum dia lemas di Sungai Tiam, Tasik Kenyir semalam.
Menurut rakan-rakannya, mangsa juga merungut cucur itu rasanya kurang manis.
“Ketika arwah bersama kawan-kawan yang lain menyediakan cucur tersebut kira-kira 3 pagi dua hari lalu, dia beberapa kali merungut cucur itu kurang manis dan dia lalu membuat sendiri cucur itu sehingga memenuhi seleranya,” kata rakan mangsa Wan Ahmad Khusyairi Wan Mohamed, 25, di Unit Forensik, Hospital Hulu Terengganu.
Mangsa yang bekerja di pelantar minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand lemas ketika mandi bersama enam rakannya di sungai itu tengah hari semalam.
Mayatnya ditemukan kira-kira 10.05 pagi tadi oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Ketika berenang untuk ke seberang sungai bersama dua lagi rakan kami, Amir Hilmi menggalami kekejangan otot dan hampir lemas. Kami yang berada di atas rumah bot segera membaling jaket keselamatan ke arahnya, namun dia gagal berpaut pada jaket itu lalu tenggelam,” kata Wan Ahmad Khusyairi.
Beliau berkata seorang rakan mereka terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa, namun pegangan tangan mangsa terlepas dan mangsa terus tenggelam.
Dua lagi rakan mereka yang berada di dalam sungai selamat.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa lemas dan mayatnya dibawa ke hospital.
Difahamkan Amir Hilmi bersama 22 orang lagi rakannya pergi ke Tasik Kenyir Jumaat lalu untuk memancing dengan menyewa sebuah rumah bot.
Rakan wanita mangsa Nur Syuhada Che Ngah, 22, berkata beliau mengetahui berita tersebut kira-kira 6 petang semalam menerusi panggilan telefon kakak sulung mangsa.
“Kali terakhir kami berjumpa ialah Khamis lalu selama lebih satu jam. Arwah ada berpesan supaya melihat rumahnya di Kampung Mak Lagam, Kemaman jika berlaku banjir.
“Pada pukul 3 pagi semalam, arwah ada menghantar pesanan menerusi WhatsApp dan meminta saya menghantar gambar. Saya merasa agak pelik dengan permintaannya itu,” katanya.
Nur Syuhada berkata Amir Hilmi dijangka menghantar rombongan untuk merisiknya tahun depan. – BERNAMA