KUALA LUMPUR – Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016, yang berakhir Ahad lepas, dilihat berjaya membuka mata dan minda golongan belia untuk meneroka sektor pertanian dan industri asas tani dengan lebih agresif.
MAHA 2016 bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ membawa mesej dan agenda mengangkat status sektor pertanian yang selama ini dianggap sebagai industri ‘orang kampung’ kepada industri yang menjaga kedaulatan negara dan enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam konteks ini, MAHA 2016 menekankan isu keselamatan makanan dan peranan besar sektor pertanian sebagai asas kekuatan negara dan keupayaannya mencapai ‘kemerdekaan’ dalam aspek pengeluaran dan bekalan makanan.
MENGUBAH PERSEPSI
Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Abdul Shukor Juraimi berkata MAHA 2016, yang membawa konsep baharu agrotainment seperti “Rhythm of The Farmers’, Agroyouth Camp, Kampung Durian Runtuh Upin dan Ipin dan Kampung Mok Cun, menjadikan eskpo pertanian dan makanan tertua ini amat berbeza dan berjaya mengubah persepsi golongan muda terhadap sektor pertanian dan industri asas tani.
“Kesungguhan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempromosikan pertanian kepada belia harus diberikan pujian kerana penganjuran MAHA tahun ini benar-benar berjaya menambat hati pengunjung-pengunjung muda.
“Pengisian program-program di MAHA sangat bagus selain pameran dan ceramah-ceramah yang dijalankan berkaitan pertanian kepada para pengunjung,” katanya kepada Bernama.
Mencatat kehadiran seramai 3.7 juta pengunjung, MAHA 2016 berjaya merekod kehadiran lebih 40 peratus daripada keseluruhan pengunjung terdiri daripada golongan muda.
Berlangsung selama 11 hari, sejak 1 Dis, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), ekspo pertanian dan makanan terbesar dan paling lama di rantau ini turut mencatat jualan dan perjanjian jualan kira-kira RM380 juta, melepasi sasaran awal sebanyak RM200 juta.
Abdul Shukor berpendapat ekspo pertanian dan makanan seperti MAHA mampu menarik penglibatan lebih ramai belia menceburi sektor pertanian dan membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk-produk makanan yang diimport.
Katanya keupayaan untuk negara menghasilkan bekalan makanan belum berada pada tahap yang baik kerana Malaysia masih lagi bergantung kepada bekalan daging lembu dan produk tenusu yang diimport dari luar negara.
Apatah lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang suram dan kejatuhan nilai Ringgit, ia boleh menyebabkan kerugian besar jika negara terpaksa berterusan mengimport bekalan makanan.
PAMER TEKNOLOGI BARU
Bagi mengulangi kejayaan MAHA 2016, Abdul Shukor berpandangan pameran dwitahunan pada 2018 dapat mempamerkan produk-produk hasil kajian dan penyelidikan daripada institusi pengajian tinggi tempatan dalam bidang pertanian.
Langkah ini dapat membantu mempromosikan kajian dan penyelidikan bidang pertanian serta mengembangkan penggunaannya bagi tujuan komersial.
“Ada produk-produk penyelidikan yang dijalankan oleh pihak universiti tidak dapat diketengahkan… MAHA boleh menjadi platform untuk hasil kajian atau produk pertanian didedahkan kepada masyarakat umum,” katanya.
Felo Penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan UPM, Prof Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata bahawa MAHA 2016 merupakan satu platform terbaik bagi petani, penternak atau pengeluar yang mampu mengeluarkan produk-produk menarik serta berinovasi.
“Kita dapat lihat kemajuan melalui ekspo tersebut cuma ia masih tidak mencukupi untuk melonjakkannya ke tahap lebih tinggi yang membolehkan kadar eksport makanan kita melebihi kadar import,” katanya.
Beliau berkata Malaysia mempunyai prospek dalam sektor pertanian tetapi memerlukan sokongan besar daripada kerajaan daripada segi penyelidikan dan pembangunan serta insentif bagi menggalakkan petani dan golongan belia menceburi bidang ini.
PERLUKAN TRANSFORMASI
Melihat kepada peningkatan bilangan kehadiran pengunjung MAHA 2016, Fatimah berkata ini merupakan masa paling sesuai melakukan transformasi bidang pertanian dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.
“Kita melihat ramai di kalangan rakyat Malaysia yang berminat dengan dengan alam semula jadi dan produk tempatan. Jadi, perlulah kita menggunakan peluang ini untuk terus menarik minat golongan belia terhadap bidang pertanian,” katanya.
Beliau turut menyangkal tanggapan sempit terhadap bidang pertanian yang kononnya hanya terhad kepada aspek penanaman dan penternakan, sebaliknya ia turut melibatkan inovasi dan rekacipta produk.
“Sebenarnya, baju yang kita pakai bermula daripada industri pertanian, kasut serta beg kulit juga dari industri pertanian… pertanian bukan hanya penanaman,” jelasnya.
Mengenai usaha-usaha yang boleh diambil bagi menjayakan ekspo tersebut pada masa akan datang, Fatimah mencadangkan penekanan perlu diberikan kepada penglibatan kanak-kanak.
“Kalau boleh, ekspo berikutnya perlu melibatkan kanak-kanak supaya mereka dapat menghayati alam semula jadi dan sekali gus belajar menjaganya dengan sebaik mungkin.
“Kita boleh wujudkan konsep ‘Kidzania’ pada masa akan datang… ajar mereka cara nak tanam dan jaga pokok, cara membuat coklat dan macam-macam lagi. Ini akan membawa perubahan kepada minda mereka terhadap bidang pertanian,” katanya lagi. – BERNAMA