SHAH ALAM – Tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan pencarum menggunakan wang caruman mereka bagi membayar wang pendahuluan untuk membeli rumah berjaya merealisasikan hajat pekerja berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.
Seorang pencarum, Muhammad Sufian Daud, 31, berkata dengan kemudahan menggunakan wang daripada Akaun kedua KWSP untuk digunakan sebagai wang pendahuluan membeli rumah, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pekerja bergaji rendah dan sederhana seperti beliau.
Katanya bagi yang bergaji RM3,500 ke bawah, untuk menyimpan wang baki gaji dijadikan wang pendahuluan bagi membeli rumah, adalah amat sukar terutama jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam berikutan kos sara hidup yang tinggi.
“… wang pendahuluan yang biasanya sehingga 10 peratus daripada harga rumah bukanlah jumlah yang kecil kerana rumah di bandar mahupun di pinggir bandar terutamanya di Selangor adalah mahal antara RM250,000 ke atas.
“Jika dikira, seorang pembeli diperlukan membayar RM25,000 sebagai wang pendahuluan dan bagi seorang pekerja bergaji rendah dan sederhana, ia jumlah yang terlalu besar dan kemudahan yang disediakan KWSP memang amat berguna kepada orang ramai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Jurutera di sebuah syarikat pembinaan, Hussary Ahmad, 30, pula berkata beliau akan menggunakan wang caruman KWSP untuk membeli sebuah rumah pada masa akan datang bagi tujuan pelaburan dan persediaan untuk masa depan.
“Harga rumah akan bertambah mahal, permintaan untuk rumah sewa akan sentiasa ada, rumah yang bakal dibeli kelak mungkin akan disewakan bagi menambah pendapatan apabila sudah bersara kelak.
“Ini kerana wang KWSP sahaja tidak cukup untuk menampung semua perbelanjaan,” kata beliau yang telah pun memiliki rumah sendiri ketika ini.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Ahmad Shaherman Shamsuri, 31, pula berkata beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membeli atau memiliki rumah baharu apabila bersara kelak.
Menurutnya, harga rumah pada ketika itu boleh dikatakan agak mahal dan tidak mampu untuk dimiliki.
“Bagaimanapun, saya mungkin akan melakukan sedikit ubah suai tethadap rumah yang saya miliki sekarang supaya selesa bagi anak dan cucu yang akan berkunjung,” katanya. – BERNAMA

