JAKARTA – Pasukan polis antipengganas Indonesia berjaya menembak mati tiga suspek selepas satu pertempuran sengit di sebuah rumah penduduk di selatan ibu kota Jakarta pagi Rabu.
Seorang jurucakap polis republik itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rikwanto memberitahu stesen penyiaran tempatan Metro TV bahawa sebutir bom hidup turut ditemui dipasang dalam kediaman tersebut.
Serbuan bermula setelah pihak polis mendapat maklumat hasil proses soal siasat 14 suspek susulan siri tangkapan berkaitan beberapa serangan bunuh diri yang dirancang di sekitar Jakarta dan banyak lokasi lain.
“Ketika operasi, kami cuba berwaspada apabila ada suspek melontar sesuatu di dalam rumah yang kemudian dikenal pasti sebagai bom tetapi gagal meletup. Mereka menembak polis dari rumah itu,” kata Rikwanto.
Rakaman stesen televisyen turut menunjukkan visual seorang pegawai pemusnah bom memasuki kediaman itu di Tangerang selepas tamat pertempuran manakala penduduk tempatan berkumpul di luar kawasan.
“Dalam rumah itu, kami menjumpai sebuah bom yang cukup besar dan sedang menyiasat bahan tersebut sebelum mematikannya,” jelas Rikwanto sambil menambah seorang lagi suspek ditemui polis masih hidup.
Seorang pegawai kanan polis Selatan Tangerang, Ayi Supardan berkata, siasatan awal terhadap suspek tersebut menunjukkan mereka merancang untuk menggunakan bom dengan saiz besar pada hujung tahun ini.
Namun mereka tidak menetapkan sebarang sasaran tertentu. Awal Selasa, pihak polis mengumumkan mereka telah menyoal siasat 14 suspek yang merancang serangan bom di sekitar pulau padat penduduk, Jawa.
Kesemua suspek ditahan dan hasil risikan mendapati mereka menerima arahan daripada seorang pengganas terkenal Indonesia, Bahrun Naim yang menyertai militan Daesh di Syria. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

