KUALA LUMPUR – Bertemakan “Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh”, Bajet 2017 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dilihat membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memperkasakan kumpulan sasar Kementerian.
YB Dato’ Sri Rohani berkata: ”Bagi KPWKM, Bajet 2017 memberi fokus kepada bantuan kebajikan, kanak-kanak, TASKA, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kesejahteraan wanita.”
Keprihatinan Kerajaan diteruskan dengan mengekalkan pemberian Bantuan Am sehingga RM300 sebulan dan Bantuan Kanak-kanak RM450 sebulan yang bakal memberi manfaat kepada sejumlah 69 ribu keluarga.
Selain itu, bantuan sedia ada kepada warga emas turut dikekalkan iaitu sebanyak RM300 sebulan yang bakal memberi manfaat kepada seramai 120 ribu orang warga emas.
Dalam mensejahterakan kebajikan warga emas di negara ini, sebanyak lapan (8) buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bakal diwujudkan sebagai persediaan menghadapi negara tua menjelang 2035.
Selain itu, pelepasan cukai RM1 ribu akan diberi kepada pembayar cukai individu yang menghantar anak berumur 6 tahun ke bawah ke taman asuhan dan pra sekolah yang berdaftar bagi menggalakkan ibu bapa menghantar anak ke TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan pengasuhan yang diperoleh adalah yang berkualiti dan selamat.
Pada tahun ini, pelbagai kejayaan telah dilakar oleh golongan OKU di negara ini. Demi memastikan kebajikan golongan ini terpelihara, pelbagai insentif telah disediakan seperti memberi pelepasan cukai GST kepada kira-kira 387,122 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membeli peralatan bantuan tanpa melalui Entiti Kebajikan Swasta.
Selain itu, skop barang yang layak mendapat pelepasan juga akan diperluaskan.
Golongan wanita merupakan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sebanyak RM2 billion telah diperuntukkan bagi program pemerkasaan wanita di bawah Jabatan Pembangunan Wanita antaranya Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), IkeuNita dan Women Career Comeback.
Selain itu, aspek kesihatan turut dititikberatkan apabila RM30 juta diperuntukkan kepada kaum wanita untuk menjalani pemeriksaan mamogram, dan suntikan imunisasi HPV secara percuma untuk mencegah kanser serviks.
Dalam memaksimakan impak pelaksanaan program yang dirancang, Kementerian menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan penglibatan bersama pelbagai kementerian dan agensi melalui perkongsian strategik, melipatgandakan penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta menggalakkan pendekatan Tanggungjawab Sosial Korporat oleh syarikat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi kesejahteraan kumpulan sasaran.