KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia masih diterima secara meluas oleh pengurup wang di pasaran luar negara, bercanggah dengan apa yang tersebar di media sosial.
Di Singapura, Thailand dan Indonesia, pengurup wang negara-negara jiran itu aktif mendagangkan Ringgit.
Pada awal hari ini, Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan berita yang disebar menerusi media sosial yang mendakwa kononnya mata wang Malaysia tidak diterima di Makkah dan Madinah, Arab Saudi.
TH dalam satu kenyataan berkata pemantauan melalui pejabat TH di Jeddah mendapati mata wang Malaysia diterima oleh kebanyakan pengurup wang di dua kota suci berkenaan.
Di pasaran tukaran wang hari ini, pada pukul 6 petang, Ringgit didagangkan pada 4.4170/4250 berbanding dolar AS daripada 4.4170 semasa ditutup semalam.
Di Singapura, pengurup wang menolak spekulasi bahawa bekalan mata wang itu telah kehabisan di sini dan menyatakan terdapat banyak Ringgit Malaysia di negara itu.
Di Thailand pula, Ringgit masih diterima secara meluas oleh pengurup wang di sini.
Beberapa pengurup wang di Bangkok berkata tidak ada masalah menukar Ringgit kepada mata wang lain.
Bekalan ringgit banyak, kata mereka.
Sementara itu, di Indonesia, Ringgit terus aktif diniagakan walaupun pada kadar tukaran yang lemah pada RM3.20 berbanding 10,000 rupiah.
Beberapa pengurup wang di Jakarta masih membeli dan menjual Ringgit. – BERNAMA