MIRI – Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah antarabangsa dengan penangkapan seorang ahli perniagaan pada 1.15 tengah hari semalam.
Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata suspek ditangkap di rumahnya di Tanjung Lobang dan turut dirampas pelbagai jenis dadah bernilai RM103,200.
“Wang tunai berjumlah RM9,000 dipercayai milik suspek, seorang lelaki rakyat tempatan yang berusia awal 20-an turut dirampas,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Khoo berkata suspek dipercayai telah beroperasi selama lapan bulan dan dadah itu diedar untuk pasaran dalam dan luar negara.
“Dadah tersebut disembunyikan di dalam kotak serbuk minuman soya, kotak rokok dan dalam kereta,” katanya.
Khoo berkata antara pelbagai jenis dadah yang dirampas semalam ialah pil ecstacy, pil erimin 5, sepeket dadah syabu seberat lapan gram, sepeket dadah ketamine dan dua bungkus plastik dipercayai ganja seberat 1.7kg.
“Suspek turut menjalani ujian saringan dadah dan didapati positif dadah jenis amphetamine,” katanya.
Beliau berkata taktik yang digunakan oleh suspek semasa menjual dadah ialah dengan pembeli menelefon dengan menyatakan jenis dadah yang hendak dibeli.
Khoo berkata permohonan reman selama empat hari akan dibuat hari ini ke atas suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
“Kegiatan ini berjaya ditumpaskan hasil maklumat orang awam dan kerjasama polis Brunei,” katanya lagi. – BERNAMA