PUTRAJAYA – Pembelian peralatan Orang Kurang Upaya (OKU) yang layak mendapat pelepasan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan lebih dipermudahkan mulai 1 Jan depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata buat masa ini, OKU perlu melalui badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar untuk membolehkan mereka mendapat pelepasan GST.
“Kita menerima rungutan sebelum ini proses untuk mendapatkan pelepasan GST bagi membeli peralatan OKU adalah rumit,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi OKU Bil 3/2016 di kementeriannya di sini hari ini
Justeru, beliau berkata sembilan proses untuk membeli peralatan OKU yang ada sekarang akan dipermudah kepada hanya empat langkah, bermula tahun hadapan.
Katanya untuk proses baharu itu, OKU atau wakil mereka hanya perlu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan membawa kad OKU bagi mendapatkan borang pelepasan cukai GST dan kemudian membuat pembelian di mana-mana farmasi berdaftar dengan GST.
“Kita juga meminta kumpulan OKU ini agar menyimpan resit dan rekod pembelian mereka untuk tujuan audit pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata mulai 1 Jan 2017, peralatan bantuan OKU yang layak mendapat pelepasan GST diperluas sebanyak 20 peralatan berbanding 11 peralatan sekarang.
Ini merangkumi peralatan “callipers”, anggota palsu, kerusi roda bermotor, katil hospital/penjagaan di rumah, alat paparan braille, alat penggera bunyi, peranti isyarat, alat pembesar, kanta khas, alat bantu penglihatan, kusyen rawatan, tilam khas, alat bantu berjalan, tongkat ketiak, alat mengangkut dan mengawal kerusi roda, pelantar mudah alih, alat kawalan tangan untuk memandu, kerusi mandi, kerusi berlaci dan mesin teletaip.
Sementara 11 peralatan sedia ada yang mendapat pelepasan GST adalah anggota palsu, kerusi roda, katil elektrikal dan mekanikal boleh laras direka untuk orang kurang upaya, “braille embrossers”, “pick-up sticks”, telefon teks, “whistling cup”, tongkat putih, kasut khusus, alat pendengaran dan bantuan penglihatan.
Beliau berkata pelepasan GST ke atas kesemua barangan tersebut adalah khusus kepada golongan OKU yang berdaftar dengan JKM sahaja.
“Oleh itu kita amat menggalakkan golongan OKU untuk tampil mendaftar dengan JKM bagi menikmati pelbagai kemudahan dan keistimewaan yang disediakan untuk mereka,” katanya.
Untuk rekod, sehingga November 2016, seramai 404,000 OKU berdaftar dengan JKM. – BERNAMA

