KOTA KINABALU – Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sentiasa memastikan aspek pembangunan belia dan strategi pelaksanaan program, kegiatan dan aktiviti sentiasa relevan dan mempelopori keperluan terkini, kata menterinya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Sehubungan itu, beliau berkata KBSS telah berusaha mewujudkan Indeks Belia Sabah 2015 (IBS’15) yang akan menjadi penanda aras bagi mengukur tahap kesejahteraan hidup belia di Sabah serta menyediakan input bagi penggubalan polisi atau dasar untuk pembangunan holistik golongan berkenaan.
Katanya indeks itu juga akan memandu pelan tindakan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup belia di Sabah serta sebagai indikator bagi mengukur pencapaian Dasar Belia Malaysia dan Dasar Belia Sabah.
“Pelbagai program berteraskan IBS’15 telah mula dan sedang dilaksanakan di peringkat 26 daerah di seluruh Sabah termasuk menyediakan lima unit di bawah KBSS iaitu unit hak upaya persatuan, unit pembangunan kepimpinan, unit pembangunan sosial dan perpaduan, unit kesejahteraan ekonomi dan unit jaringan kerjasama.
“Kelima-lima unit berkenaan berfungsi dan bertanggungjawab merancang, mengelola, menyedia dan menyelaras program belia berpersatuan dan tidak berpersatuan mengikut pola yang tersusun rapi setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk James Ratib (BN-Sugut) mengenai perkembangan IBS’15 yang telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin awal tahun ini.
Tawfiq berkata setakat November 2016, pelaksanaan berteraskan IBS’15 memuaskan dan pelbagai impak positif yang diperoleh melalui borang penilaian maklum balas yang disediakan mengikut program kumpulan belia sasaran, temu bual atau testimoni berhubung kait dengan aktiviti belia dan maklum balas melalui media sosial seperti Facebook. – BERNAMA