KUALA LUMPUR – Satu perhimpunan jauh lebih besar berbanding BERSIH 5 akan diadakan oleh PAS awal tahun depan tetapi bagi menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, perhimpunan bagi menyokong pindaan akta sedia ada supaya dapat memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah tersebut akan diadakan sebelum Mac 2017.
Justeru, katanya, sokongan umat Islam keatas perhimpunan itu sangat penting untuk berdepan provokasi, ugutan dan ancaman melampau pihak tertentu yang mahu mengagalkan usaha itu dengan pelbagai tohmahan dan fitnah jahat.
“Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyeru supaya satu himpunan umat Islam besar-besaran diadakan bagi tujuan menjelaskan kenapa perlu pindaan Akta 355.
“Ia sekali gus memugar sokongan umat Islam terhadap pindaan Akta 355 yang bakal memberi hak kepada Mahkamah Syariah berhukum berdasarkan undang-undang syariat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nasrudin berkata, PAS akan menubuhkan Sekretariat Himpunan 355 yang mewakili parti politik, badan bukan kerajaan, aktivis masyarakat dan tokoh individu.
Kata beliau, sekretariat itu akan menetapkan tarikh dan tempat himpunan serta menggariskan objektif dan pelan bertindak bagi memastikan ia berlangsung dengan cemerlang.
“Himpunan 355 ini bakal menyaksikan satu kerjasama strategik dengan pelbagai pihak khasnya ngo-ngo Islam untuk mencetus kesedaran tinggi dalam kalangan umat Islam juga memahamkan rakan-rakan bukan muslim bagi memartabatkan Mahkamah Syariah serta perlaksanaan undang-undang syariat Islam yang menjadi hak umat Islam negara ini,” katanya.
Usaha PAS untuk meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah itu mendapat tentangan hebat Pakatan Harapan yang diketuai parti DAP.
DAP mendakwa langkah PAS itu sebenarnya usaha terancang parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini yang bercanggah dengan hak kebebasan dan Perlembagaan Negara.
DAP menyifatkan undang-undang hudud adalah satu bentuk perundangan lapuk, ketinggalan zaman dan mengundang bias kepada golongan lemah terutama wanita.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) pula mendakwa RUU355 oleh PAS mengelirukan dan mengundang bahaya demi mengampu bukan Islam supaya menyokong mereka. – MYNEWSHUB.CC