BUKIT MERTAJAM – Mayat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan reput di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Tongkang, di sini hari ini.
Mayat lelaki itu hanya memakai seluar panjang dengan kaki kanan tinggal tulang ditemui penjaga ladang sawit berkenaan 11 pagi tadi.
Tiada pengenalan diri ditemui pada mayat lelaki dianggar berusia 40-an itu, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid.
Beliau berkata pemeriksaan polis di sekitar kawasan itu menemukan kereta Proton Iswara tersangkut di dalam lumpur kira-kira 300 meter dari lokasi mayat lelaki itu.
“Siasatan awal mendapati kereta itu milik seorang wanita di Sungai Petani, Kedah dan kami sedang siasat kaitan kereta itu dengan penemuan mayat lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai jika kehilangan anggota keluarga atau kenalan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan, supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA