KUCHING – Selepas menang 2-1 ke atas Mongolia semalam, jurulatih Macau, ‎Tam Iao San semakin yakin memburu kemenangan kedua dalam Kumpulan B bola sepak Piala Perpaduan AFC menentang Laos, di Stadium Sarawak, di sini Ahad ini.
Menurut Tam, beliau percaya pasukannya mempunyai peluang untuk menang dan skuadnya kini fokus dalam misi penting tersebut.
“Kami sudah tonton rakaman video perlawanan Laos sebelum datang ke kejohanan ini dan kami sudah bersedia,” kata Tam yang ditemui selepas perlawanan menentang Mongolia semalam.
Ia adalah pertemuan pertama antara Macau dan Laos di pentas antarabangsa dan Tam mengakui Laos mempunyai kawalan bola dan taktikal yang baik tetapi masih yakin skuadnya mampu menang ke atas lawan itu.
“Semua perlawanan adalah penting dan kami perlukan kemenangan ke atas Laos untuk memastikan tiket ke separuh akhir yang menjadi sasaran kami di kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, Nepal akan membuka aksi mereka di kejohanan ini dengan berdepan Timor Leste esok.
Ketua jurulatih Nepal, Gyotoku Koji yang baru mengendalikan pasukannya dalam dua perlawanan sejak pelantikannya pada Mac lepas berkata, skuadnya meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan itu.
Sejak lapan bulan terakhir, Nepal hanya bermain dalam dua perlawanan di bawah bimbingan Koji iaitu menentang skuad bawah 22 tahun Malaysia dan Laos, yang menyaksikan pasukannya tewas dalam kedua-dua pertemuan tersebut.
“Kali ini kami lebih bersedia dan saya harap kami boleh menjuarai kejohanan ini,” kata Koji yang kali pertama mengendalikan Nepal dalam kejohanan sebenar.
Nepal diletakkan dalam Kumpulan A yang merangkumi tiga pasukan iaitu bersama Brunei dan Timor Leste manakala Kumpulan B terdiri daripada Macau, Mongolia, Sri Lanka dan Laos.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir dan satu kemenangan sahaja sudah cukup untuk pasukan bimbingan Koji mara ke pusingan empat terakhir. – BERNAMA