KUALA LUMPUR – Sepuluh individu yang dikaitkan dengan kekecohan di perkarangan bangunan Parlimen semalam diberi tempoh sehingga 2 petang ini untuk menyerah diri.
Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dilaporkan cuba diserang sekumpulan individu dalam kejadian itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden seumpama itu tidak boleh dipandang ringan dan dibenarkan berlaku.
“Saya bagi peluang kepada mereka yang terlibat untuk serah diri sehingga 2 petang ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini hari ini.
Ditanya kemungkinan ada anggota Parlimen yang sengaja membenarkan perkara itu berlaku, Khalid berkata polis masih menyiasat kejadian itu.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis telah mengenal pasti 10 individu yang disyaki terlibat dalam kekecohan itu dan meminta mereka tampil bagi membantu siasatan. – BERNAMA