KUALA TERENGGANU – Kadar kenaikan paras air laut di negeri Terengganu susulan fenomena ‘Supermoon’ keseluruhannya adalah terkawal dan tidak membahayakan penduduk negeri ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman berkata menerusi pemantauan di beberapa kawasan berisiko di negeri ini, tiada berlaku sebarang kenaikan paras air laut yang melampau sejak fenomena ‘Supermoon’ bermula pada 7.45 hingga 10 malam tadi.
“Seperti yang kita tahu ekoran fenomena Supermoon akan menyebabkan berlakunya ‘perigee’ yang boleh membawa kepada kenaikan paras air laut.
“Bagaimanapun menerusi maklumat Pusat Hidrografi negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran serta pemantauan APM, kadar kenaikan air laut di negeri ini hanyalah sekitar 2.4 hingga 2.7 meter.
“Cuma di Kemaman, paras kenaikan air laut adalah sedikit tinggi iaitu 2.9 hingga 3.2 meter namun ia adalah terkawal dan tidak membahayakan penduduk di kawasan berisiko,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan air pasang besar di muara Sungai Terengganu, Pulau Warisan, dekat sini, semalam.
Che Adam berkata walaupun keadaan terkawal namun APM sentiasa bersiap siaga dan sedia dikerah pada bila-bila masa sekiranya bencana banjir berlaku ekoran fenomena ‘perigee’ yang dijangka akan berterusan selama empat hari ini.
“Selain air pasang besar, anggota dan aset-aset kami bersedia digerakkan pada bila-bila masa jika berlakunya banjir kerana sekarang sudah masuk musim Monsun Timur Laut iaitu keadaaan cuaca adalah berangin dan taburan hujan tidak sekata.
“Dijangkakan keadaan cuaca sebegini jika berterusan akan membawa hujan lebih lebat pada pertengahan hingga hujung bulan Disember dan ia berisiko berlakunya bencana banjir,” katanya.
Katanya, 700 anggota APM akan digerakkan bersama aset-aset selain kerjasama agensi keselamatan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Rela.
“APM juga mengemas kini data-data penduduk di kawasan berisiko banjir dan mana-mana pusat pemindahan yang terletak di kawasan berisiko banjir telah dibatalkan dan diganti dengan pusat pemindahan baharu yang lebih selamat.
“Buat masa ini tinjauan di kawasan berisiko banjir di daerah ini seperti di Kampung Gelam, Mengabang Telipot, Losong Feri, Kuala Hiliran, Muara Sungai Terengganu dan Pantai Batu Buruk masih terkawal.
“Namun kami nasihatkan penduduk di kawasan berkenaan untuk terus ‘cakna’ dan sentiasa berwaspada. Patuhi arahan pemimpin setempat jika sekiranya diperlukan untuk berpindah sekiranya banjir berlaku,” katanya. – BERNAMA

