KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyokong cadangan pergerakan Pemuda dan Puteri supaya pimpinan parti meletakkan 30 peratus calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan bersetuju bahawa pelapis muda perlu diberikan peluang, namun menekankan calon yang diketengahkan itu mestilah diterima dan mendapat sokongan rakyat.
“Saya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa sokongan hebat macam mana pun dalam parti, jika tidak dapat diterjemahkan daripada sokongan luar, saya bimbang bahawa parti kita sendiri nanti akan terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Persidangan Agung Pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan pergerakan itu mahu pucuk pimpinan parti memberi peluang kepada calon muda membuktikan kewibawaan mereka pada PRU14.
Khairy yang mencadangkan supaya 30 peratus calon PRU14 terdiri daripada calon muda berkata beliau bersepakat dengan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengusulkan sasaran 30 peratus itu sebagai langkah peremajaan parti menuju PRU14. – BERNAMA