PETALING JAYA – Empat lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 16.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat susur masuk ke tol Damansara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.58 pagi tadi, mangsa yang terbunuh dikenal pasti Kun Ell Yin; 32, Kum Hok Wan; 36, Hong Ching Guan; 49, dan pemandu kereta Totoya Innova berusia 52 tahun yang belum diketahui identitinya.
Manakala, mangsa yang cedera parah dikenali pasti sebagai Ho Lai Lai, 41 yang kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori 10 tan dari arah Sungai Buloh cuba mengelak dari merempuh belakang sebuah kereta jenis Honda Accord yang berhenti di tengah jalan kerana tayarnya dipercayai pancit.
“Lori berkenaan telah melanggar penghadang jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Toyota Innova yang dinaiki mangsa.
“Rempuhan tersebut menyebabkan pemandu dan tiga penumpang maut di tempat kejadian manakala penumpang perempuan yang duduk di bahagian hadapan mengalami cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemandu lori tidak dapat dikesan selepas kejadian dan pihaknya akan mengenal pasti identiti pemilik lori tersebut untuk siasatan.
Katanya, semua mayat mangsa di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYNEWSHUB.CC
*Video dibawah sekadar hiasan.