KUALA LUMPUR – Komposer Hamdan Atan atau lebih dikenali dengan A.Ali dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) 2016.
Anugerah itu diberikan bagi menghargai jasa seniman tersebut dalam industri seni Malaysia.
Penganugerahan A.Ali yang merupakan komposer kepada beberapa lagu malar segar seperti ‘Sangkar Emas’ dan ‘Mengemis Rindu’, dipilih oleh Anggota Lembaga Pengarah MACP.
Anggota Lembaga Pengarah MACP turut menobatkan penyanyi dan pencipta lagu ‘Cinta Muka Buku’, Najwa Latif sebagai Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah MACP 2016.
Pada majlis semalam itu, komposer Edry KRU diumumkan sebagai Komposer dengan Pendapatan Terbanyak dan Habsah Hassan yang juga Pengerusi MACP diumumkan sebagai Penulis Lirik dengan Pendapatan Terbanyak.
Syarikat Universal Music Publishing Sdn. Bhd. pula diumumkan sebagai Penerbit dengan Pendapatan Terbanyak, manakala syarikat Luncai Emas Sdn Bhd merupakan Penerbit Tempatan dengan Pendapatan Terbanyak.
Anugerah MACP 2016 yang diadakan bersempena Malam Mesra MACP 2016 dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Basaruddin Sadali, mewakili menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Anugerah MACP merupakan penghargaan kepada penggiat seni yang menyumbang hasil karya bagi memajukan lagi industri seni negara.
Dalam pada itu, lagu ‘Together’ nyanyian Sleeq, Tiz Zaqyah dan Zain Saidin yang dihasilkan oleh Wong Yu Ri dinobatkan sebagai Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak, manakala lagu ‘Gadis Jolobu’ nyanyian Waris dan Hattan karya Dj Fuzz, Waris dan Hattan pula memenangi kategori Lagu Melayu Persembahan Terbanyak.
Anugerah MACP 2016 turut menobatkan lagu ‘Putih Putih Melati’ nyanyian ST 12 yang dihasilkan Ilham Febri sebagai Lagu Luar Negara dengan Persembahan Terbanyak.
Selain itu, lagu ‘Wo Ai Ta’ nyanyian Della yang dihasilkan Chen Wei Quan dan Huang Ting diumumkan Lagu Cina Persembahan Terbanyak, manakala lagu ‘Tian Hou’ nyanyian Andrew Tan karya Peng Xue Bin diumumkan sebagai Lagu Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi.
Terdahulu, Habsah dalam ucapannya menyatakan MACP akan terus berusaha menjaga kebajikan anggotanya dengan memastikan imbuhan yang setimpal dengan usaha kreatif mereka di sisi undang-undang.
“Selain pulangan berbentuk kewangan, MACP juga berjuang memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat betapa pentingnya menghargai peranan dimainkan oleh penulis lirik dan komposer lagu dalam memperkayakan khazanah seni muzik kita di samping mengharumkan nama bangsa, agama dan negara,” katanya. – BERNAMA