KUALA LUMPUR – PAS sedia berbincang dengan Pakatan Harapan untuk mencapai formula satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanya jika Pakatan Harapan bersedia menerima konsep Islam.
Ketua Penerangan PAS Sabah, Abdul Hisham Othman berkata, Pakatan Harapan perlu mengikut konsep Islam iaitu menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram jika mahukan kerjasama tersebut.
“Jika ini dapat diterima oleh DAP dan gabungan pembangkang yang lain sudah tentu perbincangan dapat diadakan sebagai langkah awal.
“PAS boleh berbincang untuk mencapai persetujuan. Ini tidak bermaksud PAS harus tunduk untuk dipijak kepalanya oleh DAP dan sekutunya,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.
Abdul Hisham dalam pada itu menegaskan, sepatutnya tidak timbul soal PAS perlu bersama gabungan pembangkang yang lain dalam himpunan bersih 5.0 kerana PAS telah `ditendang’ keluar dari Pakatan Rakyat.
Justeru, beliau mengganggap Timbalan Bendahari Agung DAP, Nga Kor Ming seebenarnya sedang mengelabah mahu mengajak PAS menyertai perhimpunan itu kerana bimbang demonstrasi itu tidak mendapat sambutan rakyat.
“DAP mula menggelabah dan terdesak sehingga Timbalan Bendahari Agungnya, Nga Kor Ming terpaksa mengeluarkan kenyataan mengajak PAS bersama menyertai himpunan bersih 5.0,” katanya. – Mynewshub.cc

