PLUSÂ Expressway Berhad (PLUS) mengakui mengenakan penalti kepada pengguna lebuh raya yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Malaysia itu jika berada melebihi tempoh ditetapkan.
Syarikat konsesi lebuh raya itu berkata, penalti perjalanan melebihi tempoh yang ditetapkan atau ‘Long Journey Time’ (LJT) yang dikenakan kepada sesetengah pengguna lebuh raya adalah salah satu daripada langkah yang terpaksa diambil.
Ia bagi membendung dan mengatasi kegiatan manipulasi kad transit tol di beberapa laluan yang dikenal pasti di lebuh raya kendalian PLUS.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan dan kajian syarikat, kegiatan manipulasi kad transit tol sering dilakukan oleh sesetengah pengguna lebuh raya yang tidak bertanggungjawab di beberapa lokasi dikenal pasti di lebuh raya.
“Antara taktik yang digunakan oleh pihak tersebut adalah seperti tukar, simpan, manipulasi kad transit tol dan sebagainya. Berdasarkan rekod kami, jumlah kegiatan manipulasi kad transit tol semakin meningkat setiap tahun.
“Bagi membendung kegiatan tersebut, penalti LJT terpaksa dikenakan kepada transaksi tol di mana waktu masuk dan keluar daripada lebuh raya adalah meragukan berdasarkan pada satu formula atau pengiraan yang telah ditetapkan,” katanya.
Baca: Didenda Kerana Berada Terlalu Lama Di R&R?
Sebelum ini seorang pemandu mendakwa dia telah ‘didenda’ oleh pihak Lebuhraya PLUS kerana berada terlalu lama di hentian Rehat dan Rawat (R&R) dengan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM6.40 ketika tiba di Plaza Tol Pendang yang kadar biasa hanyalah RM3.00.
Susulan itu, PLUS menjelaskan penalti LJT boleh dikenakan kepada pengguna lebuh raya yang melebihi tempoh perjalanan dari satu plaza tol masuk hingga ke satu plaza tol di laluan tol sistem tertutup.
(Nota: Pengguna laluan tertutup perlu mengambil kad transit ketika memasuki lebuh raya dan menyerahkan kad transit ketika membuat bayaran di plaza tol keluar).
Pengiraan tempoh perjalanan bagi perjalanan tersebut adalah berdasarkan satu had kelajuan yang telah dikenalpasti.
Jelasnya, PLUS mempunyai rekod tentang semua kejadian kesesakan, kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya, kemalangan, kerosakan kenderaan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pengguna melebihi tempoh perjalanan mereka di lebuh raya.
Rekod tersebut dirujuk dan disemak oleh petugas tol sebelum penalti LJT boleh dipertimbangkan dan dikenakan.
Walau bagaimanapun, penalti LJT tersebut hanya boleh dikenakan sekiranya pengguna gagal memberi alasan/bukti yang munasabah apabila melebihi tempoh perjalanan yang telah ditetapkan kepada petugas tol ketika membuat bayaran di plaza tol keluar.
“Sebagai contoh, perjalanan mengikut satu kadar kelajuan yang dikenal pasti antara Plaza Tol Gurun dan Pendang lazimnya hanya memakan masa 30 minit.
“Jumlah ini akan ditambah sebanyak 2.3 jam (138 minit) dengan mengambil kira kemungkinan pengguna tersebut berhenti rehat di R&R Gurun.
“Sekiranya pengguna tersebut keluar di Plaza Tol Pendang melebihi tempoh yang dikira dari waktu memasuki plaza tol Gurun tanpa alasan serta bukti yang munasabah, maka penalti LJT boleh dikenakan,” katanya.
Bagaimanapun, PLUS akan membayar balik jumlah penalti tersebut seandainya pengguna dapat mengemukakan bukti.
Menurutnya, PLUS juga mengambil kira pengendali gerai-gerai di kawasan R&R dan Hentian Sebelah yang bertugas melebihi tempoh masa perjalanan yang ditetapkan dengan tidak mengenakan penalti LJT. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan.