KHAZER – Tentera Iraq dan Kurdis dengan bantuan serangan udara sekutu Amerika Syarikat, melancarkan operasi ketenteraan terancang, awal pagi semalam dalam usaha mengusir keluar militan Daesh dan merampas semula Mosul.
Semalam, tentera prokerajaan Iraq berjumlah kira-kira 30,000 orang serta ribuan militan Kurdis Peshmerga bergerak agresif bagi mengepung bandar raya dengan penduduk 1.5 juta itu sebelum masuk menyerang.
Ia adalah kubu kuat yang terakhir bagi Daesh selepas menawannya pada 2014.
Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengumumkan permulaan operasi di televisyen, melancarkan pertempuran paling sengit negara itu sejak pengunduran tentera Amerika hampir lima tahun lalu.
“Tentera akan membebaskan anda hari ini, mereka cuma ada satu matlamat di Mosul iaitu menghapuskan Daesh dan mendapatkan semula maruah anda.
Dengan izin Tuhan, kita akan menang,” kata al-Abadi. Tentera Iraq berada sekitar Mosul sejak beberapa hari lalu, termasuk pasukan elit yang dijangka mengetuai kemaraan ke bandar raya itu, selain tentera Kurdis, pejuang puak Sunnah, polis persekutuan dan militia Syiah.
Di selatan Mosul, unit tentera Iraq berpangkalan di pangkalan udara Qayara, tetapi di timur bandar raya itu, mereka berkumpul di rumah yang ditinggalkan.
Tentera Kurdis ditempatkan di utara dan timur Mosul, kebanyakan bandar Sunnah yang menjadi pusat aktiviti militan dan sentimen antikerajaan sejak pencerobohan diketuai Amerika ke atas Iraq pada 2003.
Namun pertempuran dijangka berlanjutan dan tidak dapat dipastikan bila tentera akan memasuki bandar raya itu. Jika berjaya, pembebasan Mosul menjadi tamparan paling hebat kepada Daesh. – AGENSI/ BH ONLIE