GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memerintahkan seorang remaja perempuan warga Malawi, Afrika yang didapati bersalah mengedar dadah jenis methampethamine tiga tahun lalu, dipenjara selama tempoh perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.
Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah menjatuhi hukuman tersebut ke atas remaja itu mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dia berusia 17 tahun, 11 bulan ketika melakukan kesalahan itu.
Mengikut Seksyen 97 akta tersebut, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat selagi tidak mendapat perkenan sultan atau raja.
Remaja itu yang bertudung kelihatan tenang dan kerap menggelengkan kepala semasa mendengar penghakiman yang dibuat terhadapnya ketika prosiding berlangsung.
Dia didapati bersalah atas dakwaan mengedar dadah methampethamine seberat 1,775.4 gram di ruang ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini pada 10.30 pagi, 5 Okt 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Terdahulu, Collin dalam penghakimannya berkata keterangan daripada saksi pendakwaan tidak direka-reka serta bukan palsu.
Mahkamah juga mendapati dadah dijumpai di dalam beg yang dibawa tertuduh semasa berada di lapangan terbang.
Seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan dijalankan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid dan Anthony Chew. – BERNAMA