KOTA BHARU – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyokong penubuhan Persatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Pesama) kerana diyakini dapat menyatukan anggotanya di seluruh negara selain dapat menyelaraskan perkara berkaitan skop tugasan mereka.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata terdapat kira-kira 10,000 pegawai penguat kuasa PBT di seluruh negara dan amat baik sekiranya mereka boleh bersatu dan ‘duduk semeja’ berbincang hal berkaitan tanggungjawab mereka.
Beliau menyatakan ianya pasti dapat mengeratkan hubungan sesama anggota.
“Sebagaimana yang diketahui, lain PBT, lain pula caranya tetapi sekiranya ada persatuan, mereka ada peluang untuk duduk bersama dan menyatakan hasrat mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Bolasepak Sukan Penguatkuasa Malaysia (Sukpem) di Dewan Jubli Perak di sini malam tadi.
Noh berkata sebagai langkah permulaan, sebanyak RM30,000 disumbangkan kepada Pesama supaya mereka dapat menggunakannya bagi menjalankan pelbagai aktiviti.
Sementara itu, Pengerusi Pesama, Mohd Fauzi Maarop berkata pihaknya menyasarkan seramai 10,000 anggota di seluruh negara.
Katanya walaupun persatuan itu baru dilancarkan pada awal Januari lalu di Selangor namun penubuhan Pesama sudah mendapat perhatian dan terbaru sempena Sukpem, pihaknya sudah menerima sebanyak 500 permohonan daripada pegawai penguat kuasa untuk menyertai persatuan itu.
“Dengan geran permulaan sebanyak RM30,000 daripada kementerian ini, sudah pasti persatuan dapat menjalankan pelbagai aktiviti,” katanya. – BERNAMA

