KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air Bukit Tampoi yang ditutup pada 8.30 malam tadi akibat pencemaran bau Sungai Langat beroperasi semula pada 10.45 pagi ini.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata bekalan air akan pulih secara berperingkat apabila air di dalam kolam perkhidmatan mencapai paras optimum.
“Pengguna dinasihatkan untuk menggunakan air dengan berhemat demi mempercepatkan pemulihan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menyarankan pengguna memuat turun aplikasi telefon pintar ‘mySYABAS’, atau melayari laman Facebook Puspel Syabas atau laman sesawang Syabas www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status bekalan air.
Malam tadi, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memaklumkan bahawa beberapa kawasan di daerah Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air ekoran penutupan loji itu.
Antara kawasan yang mengalami gangguan air di daerah itu termasuk Kampung Olak Lempit, Kampung Labohan Dagang, Taman Seri Dagang, Kampung Bukit Changgang, Taman Changgang Jaya, RRM Bukit Changgang, Kampung Selangor Dredging dan Taman Arked.
Turut terjejas Taman Ambar, Taman Topaz, Pusat Serenti, Kampung Sungai Manggis, Taman Seri Telok Datok, Telok Datok, Taman Seri Cheeding, Bandar Mahkota Brooklands, Kompleks Perabot Olak Lempit, Bandar Sungai Emas dan Kampung Orang Asli Bangkong Bukit Tampoi. – BERNAMA