KUALA LUMPUR – Hospital Sungai Buloh sedang mengesan waris seorang pesakit dikenali sebagai Chan Seng Fatt, 62, yang sedang dirawat di hospital itu sejak 1 Okt lepas.
Pengarahnya Dr Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata Chan dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air di sebuah rumah kebajikan di Tanjung Karang akibat terjatuh dan masih belum sedarkan diri sehingga kini.
“Chan sebelum ini ditemui di jalanan tanpa sebarang dokumen dan dihantar ke rumah kebajikan itu untuk penempatan…sehingga kini tiada waris pesakit itu yang datang menziarahinya,” katanya.
Dr Khalid berkata pihaknya telah berusaha mengesan maklumat rekod anggota keluarga di Jabatan Pendaftaran Negara namun tiada rekod yang ditemui.
Sehubungan itu, beliau berkata pihak hospital berharap waris atau orang ramai yang mengenali pesakit berkenaan supaya tampil memberikan maklumat dengan hadir ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sungai Buloh.
Orang ramai dan waris Chan juga boleh menghubungi Syamsihana Ghazali di talian 03-61454281 atau Muhammad Fadzli Abd Mail di talian 03-61454285 untuk tindakan lanjut, kata kenyataan itu. – BERNAMA

