KUALA LUMPUR – Cadangan meningkatkan jumlah had tuntutan di bawah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) daripada jumlah sedia ada iaitu RM50,000 akan dipertimbangkan bagi mengambil kira kadar harga rumah yang tinggi pada masa ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata sebarang polisi atau dasar yang dijalankan kerajaan boleh diubah mengikut kehendak dan kesesuaian semasa.
“Kami (kementerian) memang sedang mengkaji untuk menambahkan lagi tuntutan yang boleh dituntut di bawah tribunal ini, RM50,000 memang tidak sesuai dengan harga rumah yang meningkat kini,” katanya menjawab soalan tambahan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Anthony bertanyakan sama ada kerajaan bercadang meningkatkan jumlah had tuntutan di bawah TTPR kepada RM100,000 bagi mengambil kira harga rumah yang tinggi.
TTPR yang ditubuhkan pada 1 Dis 2002 adalah sebagai alternatif untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan perumahan antara pembeli dan pemaju perumahan berlesen dengan mendengar nilai tuntutan tidak melebihi RM50,000.
TTPR mengendalikan dua jenis tuntutan iaitu Tuntutan Bukan Teknikal (ganti rugi bagi kelewatan penyerahan milikan kosong dan ganti rugi bagi kelewatan penyerahan kemudahan bersama) dan Tuntutan Teknikal (ganti rugi bagi kecacatan mutu kerja dan ganti rugi kerana pembinaan tidak mematuhi spesifikasi sebagaimana yang dinyatakan di dalam perjanjian jual beli).
Noh berkata dari tahun 2010 sehingga September tahun ini, sebanyak 13,905 kes telah didaftarkan di bawah TTPR dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 13,611 kes berjaya diselesaikan.
Katanya jumlah pemfailan kes yang tinggi menunjukkan TTPR telah mula dipercayai pembeli rumah di dalam menyelesaikan pertikaian yang berbangkit berkaitan dengan perjanjian jual beli rumah.
“Ini satu petunjuk yang positif, melalui TTPR pemilik rumah tidak perlu lagi menyelesaikan kes di mahkamah, mereka boleh pergi ke tribunal dengan hanya membayar RM10,” katanya. – BERNAMA