KUALA LUMPUR – Pembuat pesawat, Boeing, menerima tempahan 14 pesawat kargo 747-8 daripada United Parcel Service Inc (UPS), sebuah syarikat peneraju global dalam sektor logistik.
Naib Presiden Jualan Amerika Utara dan Pajakan, Boeing Commercial Airplanes Brad McMullen berkata UPS juga mempunyai pilihan untuk membeli 14 pesawat kargo tambahan.
“Kami terus berusaha untuk menjadikan 747-8 Freighter lebih baik, dan kami tidak sabar menunggu untuk melihat UPS memperkenalkan kumpulan pesawatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden UPS Airlines Brendan Canavan berkata pembelian pesawat itu merupakan pelaburan strategik bagi meningkatkan kapasiti UPS di seluruh dunia.
“Pesawat kargo 747-8 akan membolehkan UPS untuk meningkatkan rantaian dalam pasaran baharu dan sedia ada,” katanya.
Boeing berkata 747-8 Freighter merupakan pesawat kargo paling cekap di dunia, yang memberikan operator kargo kos operasi terendah dan ekonomi terbaik bagi kargo besar dalam pasaran.
Menerusi pintu ikonik, pesawat itu menyediakan 16 peratus lebih ruang isi padu kargo berbanding 747-400F selain mengurangkan kesan bunyi dalam pesawat sebanyak 30 peratus berbanding pesawat sebelumnya. – BERNAMA