SUNGAI PETANI – Sejumlah 4,876 kes pelanggaran undang-undang melibatkan pelbagai kesalahan di jalan raya dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas di seluruh Semenanjung.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata daripada jumlah berkenaan lori dan trak mencatat kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 2,326 kes, diikuti bas sebanyak 1,267 kes, teksi sebanyak 1,133 kes dan selebihnya, lain-lain kesalahan.
“Kesalahan melibatkan lori kebanyakannya atas faktor keselamatan seperti melebihi panel, tayar botak, muatan tidak diikat dengan kemas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Latihan Peningkatan Imej dan Profil (IMPRO) peringkat Wilayah Utara di di sini, hari ini.
Kesalahan melibatkan teksi pula antaranya tidak memiliki kad memandu iaitu 472 kes dan gagal menggunakan meter sebanyak 290 kes.
Bagi bas, kesalahan paling lazim ialah mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan iaitu 369 kes, katanya. – BERNAMA