KUALA LUMPUR – Pembinaan kediaman teres setingkat di bawah program Perumahan Generasi Baharu Felda dijangka bermula dalam tempoh satu atau dua bulan lagi, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Beliau berkata sebanyak 11,530 unit kediaman di bawah program itu akan dibina di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar RM1 bilion, bagaimanapun, ia mengalami kelewatan pembinaan disebabkan masalah mekanisme pembiayaan.
“Perkara itu telah selesai dengan kita memilih inisiatif pendanaan swasta melalui Putra Star Investment Holdings Pte Ltd.
“Kita melantik Terranova Builders Sdn Bhd sebagai pemaju perumahan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara Putra Star, Terranova dan Perumahan Felda Sdn Bhd untuk menjalankan pembinaan tersebut di sini, hari ini.
Mohd Isa berkata Perumahan Felda telah mengenal pasti lokasi sesuai di seluruh negara dan ketiga-tiga syarikat itu sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan berkaitan.
Projek perumahan itu akan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk memastikan setiap projek disiapkan dalam jangka setahun, katanya.
“Sebaik sahaja kita memperoleh kelulusan diperlukan, kerja-kerja tanah akan dimulakan dan melaksanakan pembinaan menggunakan IBS,” katanya dengan menambah, kediaman berkenaan akan berharga daripada RM70,000 dan ke atas.
Sementara itu, mengenai fasa ketiga projek hartanah Felda Investment Corp di Wembley, London, Mohd Isa berkata ia masih dibincangkan.
Cadangan projek tersebut melibatkan pembinaan hotel, unit pangsapuri dan ruang pejabat. – BERNAMA

