DALAM langkah untuk menjadikan daerah Aichi Prefecture, Jepun sebuah tempat yang selamat dalam pemanduan, sebuah aplikasi telah diperkenalkan bagi tujuan tersebut.
Aplikasi itu akan memberikan minuman kopi percuma kepada pemandu yang tidak melihat telefon bimbit mereka sekurang-kurangnya dalam jarak pemanduan 100 kilometer (km).
Sejak 13 tahun lepas, Aichi Prefecture telah mencatatkan kadar kematian jalan raya paling tinggi di negara matahari terbit itu.


Tahun lepas sahaja sebanyak 443,691 kes kemalangan direkodkan melibatkan kemalangan nyawa dan kecederaan parah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 50,101 kes dipercayai melibatkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu.
Bagi mengelak masalah itu daripada berlarutan, tiga buah syarikat gergasi, Toyota Motor Corporation, Komeda Co Ltd dan KDDI Corporation telah memperkenalkan satu aplikasi.
Ia dilihat mampu mencapai matlamat mereka dalam usaha untuk menjadikan daerah itu sebagai satu kawasan yang selamat untuk pemanduan.
Tiga syarikat itu telah menghasilkan aplikasi Driving Barista yang mengukur jarak perjalanan serta berapa lama telefon bimbit itu tidak disentuh pemandu sepanjang dia memulakan perjalanan.
Sekiranya Driving Barista mengenal pasti pemandu itu tidak memegang telefon pintarnya dalam jarak pemanduan lebih 100 km, ia akan menghadiahkan kupon percuma untuk pemandu menebus minuman kopi mereka di Komeda Coffe Shop.
Satu langkah yang bagus untuk mengelakkan pemandu bermain telefon bimbit di kala sedang sibuk memandu. Mungkin lepas ni Malaysia pun boleh menggunakan aplikasi sebegini demi mencapai matlamat yang sama? Mana tahu kan… – MYNEWSHUB.CC

