BAGAI jatuh ditimpa tangga, seorang lelaki menerima dugaan ‘maha’ berat gara-gara kesilapan sebuah akhbar tempatan yang menggunakan gambarnya sebagai seorang penjenayah dikehendaki.
Ku Aminnuddin Ku Abdul Rahman difahamkan telah ditulis sebagai “suspek utama cuba merempuh anggota polis yang mengejarnya” dalam laporan jenayah di akhbar Harian Metro keluaran 25 September, bertajuk ‘Mizan Gemuk Diburu’.
Ekoran perkara berkenaan, dia mendakwa pihak keluarga tunangnya telah memutuskan tali pertunangan, dirinya hampir dibuang kerja dan apa yang lebih malang, keluarganya turut menerima ‘tempias’ kecaman orang ramai.

Menurutnya, dia mula menyedari perkara tersebut selepas dihubungi oleh salah seorang rakannya di laman Facebook.
“Mereka telah menggunakan gambar saya sedangkan Mizan Gemuk yang tertera dalam akhbar tersebut bukan saya. Saya juga menafikan segala kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak media tersebut,” katanya.
Ekoran itu, dia membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan dirinya dan tidak berpuas hati gambar dirinya telah disalahgunakan.


Dia yang menetap di Perlis, turut mempertimbangkan sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit, selain meminta pihak media itu memperbetulkan semula kenyataannya.
“Perkara ini telah menyebabkan saya hampir dibuang kerja, memburukkan reputasi saya sehingga keluarga saya dikecam.
“Malah, keluarga tunang saya telah memutuskan tali pertunangan kami dan saya juga mengalami trauma yang teruk,” katanya dalam laporan polis yang dibuat. – MYNEWSHUB.CC
