BALING – Perbezaan pandangan atau pendapat berhubung sesuatu perkara tidak sewajarnya menjadi punca perpecahan dalam masyarakat Islam.
Mufti Kedah Datuk Dr Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, al-Quran dan as-Sunnah menganjurkan masyarakat untuk bersatu namun disebabkan kepelbagaian pendapat menyebabkan umat Islam berpecah.
“Hanya disebabkan ada sedikit kepelbagaian pendapat yang berbeza, yang tidak berlandaskan kepada ilmu yang mantap maka berlakulah perpecahan di antara umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-18 Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mendahului senarai 1,484 graduan menerima sijil asasi, diploma dan ijazah masing-masing dalam pelbagai bidang.
Beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran Hadis.
Muhamad Baderudin berkata, masalah dihadapi umat Islam ketika ini di tahap membimbangkan iaitu ada pihak mengkafirkan orang Islam yang melakukan dosa.
“Orang yang berbuat dosa, contohnya tidak solat, bukan kafir melainkan dia menolak akidah dan ajaran Islam, tetapi ada puak yang mengkafirkan mereka lalu menghukum bahawa darah mereka ‘halal’ dan boleh dibunuh.
“Ini bercanggah dengan akidah sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah, bahkan menyebabkan wujudnya tohmahan yang melabelkan Islam sebagai agama menggerunkan dan berbahaya,” katanya. – BERNAMA