PEMINAT industri hiburan pasti tahu sebelum ini Izreen Azminda dan Amar Baharin memang pernah rapat memandangkan kedua-duanya pernah bergandingan sebagai pasangan hero dan heroin dalam slot drama Akasia, Kerana Terpaksa Aku Relakan.
Namun begitu, baru-baru ini Izreen ada mengeluarkan sebuah kenyataan mengatakan dia enggan lagi digandingkan dengan Amar dalam mana-mana penerbitan drama dan filem pada masa akan datang.
Ini kerana menurutnya, dia tidak lagi mahu bertemu dan bertentang mata dengan jejaka yang dikatakan pernah memberi impak dalam kehidupannya sebelum ini.
“Saya memang dah tak mahu berlakon dengan Amar Baharin. Setiap tawaran saya akan tanya produser dahulu siapakah pelakon lelakinya, kalau ada Amar memang saya tolak. Saya tak suka nak propa atau menipu diri sendiri.
“Saya cakap terus-terang kerana saya tak boleh berdepan dengan lelaki yang pernah beri impak dalam hidup saya,” katanya dipetik portal Rotikaya.
Izreen mengambil pendekatan tersebut kerana enggan dirinya dikaitkan dengan Amar yang bakal melangsungkan perkahwinannya pada bulan November ini.
Walaupun mempunyai ‘masalah’ untuk digandingkan dengan Amar, namun Izreen menjelaskan dia sama sekali tidak mempunyai masalah dengan bakal isteri Amar iaitu pelakon Amyra Rosli.

“Saya tiada masalah dengan bakal isteri dia. Hanya dengan Amar sahaja saya dah tak boleh bersemuka. Orang akan cakap saya tak profesional tetapi ini pendirian saya. Saya bukan berdendam cuma dah tak mahu ada kaitan dengan Amar lagi,” ujarnya lagi.
Izreen, pelakon kelahiran Perlis ini merupakan ibu tunggal kepada Adrian Umar yang kini berusia tiga tahun.

Sebelum ini dia pernah berkahwin dengan jurukamera, Mohd. Riza Baharuddin pada 2012 namun berpisah dua tahun kemudian. – MYNEWSHUB.CC