KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa Allahyarham Datuk Haron Din istiqamah dengan perjuangan parti itu sehingga ke akhir hayatnya.
Kata beliau, Allahyarham telah menzahirkan istiqamahnya dalam usaha dan perjuangan agar tertegak Islam yang syumul khususnya syariah di Malaysia.
“Seluruh yang mengenalinya pasti menjadi saksi bahawa Almarhum disepanjang hayat telah menzahirkan istiqamahnya.
“Sumbangan dan komitmen tinggi telah diteladani Almarhum menjadikan beliau bintang bergemerlapan dalam kalangan kita dan tentunya seorang tokoh umat yang sukar dicari ganti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, kata Abdul Hadi, beliau mewakili seluruh ahli dan pimpinan PAS merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Muryidul Am PAS itu diatas pemergiannya.
“Semoga Allah S.W.T menempatkan roh Almarhum bersama para Nabi, Siddiq, Syuhada dan Solihin,” katanya.
PAS ketika ini sedang berusaha untuk meminda Akta 355 bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini.
Usaha itu bagaimanapun mendapat bantahan sebilangan ahli politik terutama daripada Pakatan Harapan termasuk pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
Malah, pemimpin Melayu DAP, Zairil Khir Johari pernah mendakwa pindaan ke atas akta itu akan mengundang pelaksanaan undang-undang hudud di negara ini.
Dakwa beliau, hudud jika dilaksanakan di Malaysia akan mengundang bias sosial ke atas golongan wanita, orang miskin dan masyarakat minoriti.
Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, hukuman sebat akan dikenakan ke atas mereka yang berzina, membuat fitnah dan minum arak manakala penjara ke atas mereka yang murtad atau berfahaman Syiah. – MYNEWSHUB.CC

