DAVAO – Sekurang-kurangnya 14 orang mati dan puluhan lagi cedera akibat letupan bom di sebuah pasar malam di bandar Davao, iaitu kampung halaman Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Letupan itu berlaku sejurus sebelum 11.00 malam semalam, hingga mayat-mayat dilihat bergelimpangan di sebalik serpihan meja-meja dan kerusi plastik di sebatang jalan raya yang ditutup kepada kenderaan untuk pasar malam tersebut.
Alat letupan yang diubahsuai merupakan punca letupan itu, kata jurucakap presiden Martin Andanar. Beliau menambah para pengedar dadah yang membantah gerakan Encik Duterte membasmi jenayah ataupun para militan berfahaman pelampau mungkin bertanggungjawab.
“Ada banyak elemen yang marah dengan presiden dan pemerintah kami,” kata Encik Andanar kepada radio DZMM, merujuk kepada para pengedar dadah dan anggota militan.
“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa mereka mungkin bertanggungjawab namun ia terlalu awal untuk membuat spekulasi,” ujarnya.
Davao merupakan bandar terbesar di Filipina, dan mempunyai sekitar 2 juta penduduk. Ia terletak sekitar 1,500 kilometer dari ibu kota Manila.
Letupan itu berlaku di tengah Davao, berhampiran salah sebuah hotel utama di bandar itu yang kadangkala digunakan Encik Duterte untuk mengadakan mesyuarat, serta dekat dengan sebuah universiti utama.
Encik Duterte berada di Davao semalam namun tidak berada berhampiran pasar malam tersebut apabila letupan itu berlaku, menurut para pembantunya.
Mereka berkata beliau langsung menyertai mesyuarat-mesyuarat bersama para ketua keselamatan menyusuli letupan itu.
Davao merupakan sebahagian daripada wilayah selatan Mindanao, di mana para militan pelampau melancarkan pemberontakan sejak berdekad-dekad lamanya yang sudah meragut lebih 120,000 nyawa.
Para pemberontak komunis, yang juga melancarkan gerakan bersenjata sejak 1968, juga mempunyai pengaruh di kawasan-kawasan perkampungan berhampiran Davao.
Encik Duterte sudah menjadi datuk bandar Davao sejak dua dekad lalu, sebelum menang dalam pilihan raya umum tahun ini dan mengangkat sumpah sebagai presiden pada 30 Jun.
Encik Duterte menjadi terkenal kerana mengembalikan keamanan di kawasan Davao dengan dasar-dasar keselamatan yang ketat, serta memeterai perjanjian dengan para pemberontak komunis dan pelampau.
Beliau juga menjadikan pembasmian dadah tempatan keutamaannya sejak menjadi presiden.
Pasukan-pasukan keselamatan sudah menjalankan serbuan di serata negara untuk menangkap atau membunuh para pengedar dadah.
Lebih 2,000 orang sudah mati dalam usahanya memerangi dadah. – AFP