KETIKA sebuah akhbar tempatan yang diketahui memang cenderung pembangkang menyiarkan berita muka depan hari ini konon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal menyaksikan perlawanan satu lawan satu, ramai terkedu!
Berita tersebut (bukan terbitan Kumpulan Utusan atau Media Prima) tidak sahaja lucu, malah cuba perbodoh rakyat Malaysia yang jahil politik semasa tanah air apabila menggambarkan selain Barisan Nasional (BN), pembangkang bersatu di bawah Pakatan Harapan (PH).
Hakikatnya, parti-parti anti-BN tidak pernah bersatu kerana selain PH yang disertai DAP, PKR dan PAN, ada lagi blok dikenali Gagasan Sejahtera (GS) dianggotai PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) di samping kemunculan PPBM yang entah kelompok mana!
Cakap mahu bertanding satu lawan satu juga bukan perkara baharu waima ketika Pilihan Raya Sarawak ke-11 dan dua pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pun ‘bergaduh’ sesama sendiri menyaksikan pertindihan calon pembangkang menentang wakil BN.
Isu ini turut diulas oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed yang memberi bayangan bahawa kemungkinan besar berlaku pertembungan banyak penjuru dalam kalangan pembangkang yang sudah berpecah menentang BN semasa PRU ke-14 nanti.
Menurut beliau, walaupun strategi satu lawan satu diakui paling berkesan untuk menewaskan BN, namun dalam keadaan perpecahan terburuk antara kepimpinan pembangkang, parti tersebut tidak pasti idea mustahil itu mampu direalisasikan oleh PH dan diterima GS.

“Saya ingat semua pembangkang bersetuju supaya tiada tiga penjuru. Memang kita harap untuk jatuhkan BN dengan satu lawan satu. Jika berlaku begitu kemungkinan besar pembangkang akan menang. Tetapi sama ada ia akan berlaku atau tidak, itu Wallahu’alam,†katanya.
Mahfodz juga mendedahkan setakat ini PAS langsung tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan mana-mana parti pembangkang yang lain secara terperinci sekali gus membayangkan idea satu lawan satu sekadar teori atas kertas semata-mata.
“Cuma yang kita sudah ada kerjasama ialah dengan Ikatan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan anti-BN menerusi GS. Apa yang pasti, kita tidak akan buat hubungan dengan pihak DAP apatah lagi PAN yang dianggap sebagai pengkhianat perjuangan PAS sendiri.
“Yang lain-lain, termasuk PPBM itu yang baharu sahaja disahkan pendaftarannya, ia ada kemungkinanlah. Tetapi setakat ini lah, tidak tahulah (pada masa akan datang) sebab politik ini semua boleh kalau sudah sampai masanya,†kata Mahfodz lagi kepada sebuah portal.
Mengenai halangan untuk bekerjasama dengan DAP dan PAN, beliau dilaporkan berkata, PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan PKR untuk menentukan memandangkan hanya parti itu mempunyai hubungan langsung dengan kedua-dua belah pihak sama ada PH dan GS.
“Kalau ada keperluan, mungkin juga kita akan mengadakan perbincangan secara dalaman dan terus dengan pihak PKR sendiri,†kata beliau yang dipetik oleh portal tersebut tanpa menjelaskan secara lebih lanjut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

