PERNAH bergelumang dengan najis dadah, vokalis terkenal kumpulan Slam menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan konon dirinya kembali menagih bahan terlarang itu.
Menurut Zamani kepada laman akhbar tempatan, dakwaan dan khabar angin itu tersebar setelah dia dilihat kembali mengunjungi salah sebuah pusat pemulihan dadah di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu tidak menafikan dia ada mengunjungi pusat pemulihan berkenaan tetapi untuk tujuan pemeriksaan.
“Memang saya ada mengunjungi pusat itu untuk menjalani pemeriksaan bagi membuktikan keadaan saya sudah pulih dari ketagihan.
“Malah, saya juga sudah ada surat akuan dari pusat pemulihan terbabit,” kata Zamani lagi yang kini berusia 45 tahun.
Mengenai berat badannya yang semakin susut, penyanyi itu menjelaskan kerana dia terlalu penat dengan jadual kerja yang terlalu padat.
“Orang tidak tahu saya terlalu sibuk dengan persiapan konsert Slam dan Tiga Suara ini sehingga sedikit mengganggu masa makan.
“Sebenarnya saya malas untuk komen panjang kerana khabar angin bersifat negatif ini hanya akan merosakan kerjaya saya,” jelasnya. -MYNEWSHUB.CC

