KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO meminta pihak-pihak yang terlibat agar mengkaji semula punca permasalahan sosial terutama yang menjurus kepada perlakuan amuk.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata ia penting supaya langkah awal boleh diambil untuk mengelakkan tragedi pembunuhan dan perbuatan yang mencederakan sebagaimana insiden yang menimpa keluarga Allahyarhamah Mariah Baharin, daripada berulang.
Allahyarhamah Mariah, 62, merupakan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu didapati mati dibunuh bersama suami, Hassan Wahab, 70, dan anak lelakinya Mohammad Taufeq, 22 di rumah mereka di Kampung Bertam Malim di sini awal pagi semalam. Tiga lagi anggota keluarganya cedera.
Susulan kejadian itu, polis Melaka hari ini menahan reman tujuh hari seorang suspek lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan. – BERNAMA

