PASIR PUTEH – Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon maaf berhubung pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong menunjukkan beliau bukanlah seorang yang berwawasan.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pindaan perlembagaan yang dibuat itu jelas menunjukkan ia dilakukan demi kepentingannya semasa menjadi perdana menteri.
“Mahathir pada ketika itu (mungkin) ingin mendapat kuasa penuh, beliau telah meminda (perlembagaan) dan baru hari ini beliau katakan kesal… ini menunjukkan beliau tidak berwawasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh di sini, hari ini.
Semalam, ketika membuat permohonan maaf tersebut dalam blognya, Chedet.cc, Dr Mahathir mengakui tindakannya itu menyebabkan kelulusan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak diperlukan untuk suatu Akta Parlimen dijadikan sebagai undang-undang.
Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata semua pihak perlu sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan yang telah difikir secara mendalam oleh penggubalnya yang terdiri daripada “datuk, nenek, moyang kita” dan ia mempunyai nilai dan kepentingan tertentu.
Beliau berkata Mahathir kini hanya perlu menyalahkan dirinya terhadap segala tindakannya yang salah ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
“Untuk diri beliau tidak ada kesan apa-apa tetapi ia seperti membuka pekung di dada bahawa tujuan pindaan dibuat hanya untuk kepentingan beliau pada waktu tersebut, tetapi kesannya adalah kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman berkata UMNO bahagian itu berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Beliau turut membidas tindakan Mahathir dan beberapa bekas pemimpin UMNO yang terus menyerang parti dan berharap anggota UMNO tidak terpengaruh dengan tindakan tersebut. – BERNAMA

